Saturday, June 7, 2008

Permasalahan Dalam Pengajaran Pendidikan Seni: Satu Kajian Analisis Permasalahan; Dan Cadangan Kepada Perlaksanaan Penyelesaian Masalah.

1. Pengenalan


Bunyi loceng, menandakan waktu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni Visual baru sahaja tamat. Tajuk hari itu ialah kajian menghasilkan corak dari pelbagai garisan dan warna menggunakan grid tidak formal. Objektif pengajaran berteraskan sukatan pelajaran, manakala aktiviti pembelajarannya sistematik serta melibatkan pelajar dalam perancangan pelajaran.


2. Pengajaran dan Pembelajaran

Di akhir pengajaran, lapan pelajar menyiapkan tugasan garisan dan mewarna dengan berjaya. Enam pelajar pula, sudah hampir 80 peratus siap dengan menggunakan kombinasi warna yang halus dan pemilihan garisan yang sesuai. Sepuluh lagi pelajar berusaha menyiapkan tugasan hari itu dengan memilih garisan dan warna asas, menggolongkan mereka di Peringkat Skematik oleh Victor Lowenfeld (1947) di dalam teorinya skema perkembangan tampak kanak-kanak atau peringkat perkembangam artistik. Sebelas pelajar merasakan tugasan itu perlu diselesaikan dan ‘asal siap’. Manakala pelajar yang selebihnya dari empat puluh orang ini, terkial-kial dan mencari-cari ‘ilham mewarna’ atau ‘jalan mudah’ menyelesaikan tugasan mewarna hari itu.


Catatan: 87.5% pelajar dapat menyiapkan tugasan.
12.5% lagi diharap dapat menyiapkankan tugasan
dan menghantarnya esok.


Kaedah begini suatu klise dan memerlukan satu suntikan demi mengatasi kekangan yang dihadapi baik kepada guru atau pelajar, sepanjang berlakunya proses P&P.


3. Permasalahan dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Pendidik Seni Visual kelas Tingkatan Satu ini, tersuratnya telah berjaya dalam P&P hari itu. Tetapi, sebenarnya hanya lapan pelajar sahaja yang mendapat ilmu dengan berkesan. Selebihnya merupakan pelajar pelajar yang tidak efektif, lambat menerima maklumat dan perlukan lagi ransangan. Sebagai penyalur maklumat, tugas pendidik bukan setakat mengajar, tetapi sebagai agen sosial intelektual yang inovatif.


Apabila kita mengajar teori warna ia merupakan suatu penggabung jalinan pendidikan dengan kehidupan seharian pelajar sepanjang hayat. Pendidikan seni memperkembangkan kreativiti, tanggapan, penterjemahan dan kecerdasan analitik insan. Mengajar pendidikan seni adalah lebih daripada mengajar pelajar melukis dan mewarna pemandangan yang indah atau melahirkan kemerduan dari bunyian. (Deborah D. West,2000, pg.176-178).


Pelajar seharusnya bergembira melalui proses kemahiran dan dapat menceritakan pula yang tersirat dan tersurat di dalam karyanya seperti menurut Panofsky dalam History of Tradition; Terdapat tiga tahap kupasan boleh mencari makna dalam sesuatu karya.

1. Pertama ‘Primary atau natural subject matter’ yang mengajak kita mengenal rupa dan bentuk di atas permukaan karya serta mampu menamakannya.

2. Kedua ‘Secondary’ atau conventional subject matter’ yang membuat kita berusaha mengenal apakah sesuatu perbuatan dan maksudnya, perbuatan atau ekspresi menerusi objek dan acara yang mendukung tema, konsep dan cerita..

3. Ketiga ‘Intrinsic meaning’ yang lebih dekat makna-makna dalaman, misalnya aspek simbolik keagamaan dan kebudayaan.
(Mohd. Zaihidee Hj Arshad, 2000)



Seharusnya, walaupun pelajar hanya menghasilkan corak, tdak salah menguatkan lagi aspek formal dan ikonografi di dalam karya tersebut. Pelajar akan lebih matang, kreatif, tekun, mempunyai tanggapan kendiri, dapat menterjemahkan karya dengan bahasa naluri tersendiri sekaligus menggalakkan proses kecerdasan yang berterusan.



Kesan pendidikan berlaku sebaik sahaja permulaan proses pengajaran dan pembelajaran. Kejayaan sesuatu pengajaran dan pembelajaran era terkini perlukan pembaharuan; iaitu satu langkah inovasi lahir dari fikiran yang kreatif . “To explain innovation, we need a new theory of organizational knowledge creation... the cornerstone of our epistemology is the distinction between tacit and explicit knowledge... the key to knowledge creation lies in the mobilization and conversion of tacit knowledge.” Ikujiro Nonaka and Hirotaka Takeuchi(1995)



Inovasi menjadi pemangkin kepada cabaran baru di dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran pendidikan seni. Mengikut Edment Felment “seni berkaitan dengan sosio politik. Bunyi dan visual digunakan masyarakat dunia(universal).Ia merupakan paduan isi dan bentuk”. Mc Luhen and Fiore “Seni tentukan kefahaman kemanusiaan sejagat. Ia dihasilkan dari nurani dan naluri sehalusnya.



“Seni Nilai Asas perasaan manusia”manakala manusia ialah objek seni. Mengikut persepsi warna warna asas ada tiga tetapi menjadi beribu warna bila dicampur. Aluyah Al Sagof.


Bygots menyatakan setiap warna mengandungi pengaruh berbeza antara manusia. Contohnya Biru memberi kesan tenang. Kuning memberi kesan gembira. Merah membawa kesan Tidak tenang.Warna boleh berperanan sebagai imej simbol dalam
menyokong dan menguatkan isi sesuatu isi. Garisan pula boleh berperanan seperti yang dijumpai Reed pada 1984- Sistem tampak manusia menyebabkan objek yang dilihat dekat terbayang besar dari objek yang dilihat lebih jauh. Kualiti garisan memberi kesan ilusi dalam seni tampak dan memberi impak yang hebat. Kepelbagaian jenis garisan juga hasil dari karakter garisan itu sendiri. Garisan dan warna boleh dijadikan ikon komunikasi yang cekap dan bermesej.


Inovasi menjadi keperluan atas desakan 3 aspek ini;

1. Keperluan disebabkan pengajaran
2. Persekitaran dalam pembelajaran
3. Pelajar.

Aspek aspek ini menolong para pendidik membuat penilaian bagaimana harus memilih inovasi yang berasaskan tajuk, persekitaran pelajar dan latarbelakang pelajar itu sendiri. Pelajar merupakan klien utama dan setiap proses P & P seharusnya berpandukan informasi kecerdasan pelajar.


“Saya tidak menyokong ujian yang direka untuk mengukur kecerdasan manusia, kerana secara berterus terang saya tidak kisah kecerdasan apa atau taraf kecerdasan manusia. Saya mengambil berat tentang mereka boleh menyumbangkan perkara yang bernilai dalam budaya kita... (Howard Gardner, pg 2)


Teori kecerdasan pelbagai diperkenalkan Howard Gardner ( 1983 ) mempunyai lapan kecerdasan yang perlu diperkembangakan di kalangan pelajar.

1. Bahasa
2. Logik-Matematik
3. Ruang (spatial)
4. Muzik
5. Kinestatik
6. Interpersonal
7. Intrapersonal
8. Naturalis



4. Cadangan Perlaksanaan Penyelesaian.


Sebelum memulakan proses inovasi dalam pengajajaran pendidik harus
menerokai idea P&P berdasarkan tajuk yang sesuai bagi pembelajaran pelajar. Mengikut James Webb Young, “Idea adalah lebih kurang satu kombinasi elemen baru dan lama. Oleh itu kaedah yang lama masih boleh dipraktikkan sesuai dengan pengenalan kombinasi kaedah P&P yang baru.


Kombinasi baru dan lama ini menjadikan satu pertemuan yang lebih meyakinkan sepertimana pendapat Robert Frost: “Apakah idea? Jikalau anda mengingati, hanya satu ingin saya sampaikan. Ingatlah! idea ialah satu pencapaian hebat sebuah persatuan.”
Proses P&P akan menjadi lebih bertenaga dan mencabar apabila idea baru ini diperkenalkan.


Untuk menghasilkan satu inovasi baru, perlukah dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan? Menurut Edward de Bono (Article: Serious Creativity, Pg 1) “Brainstorming diasaskan oleh Alex Osborne... kumpulan ini sentiasa mencari jalan keluar, idea yang aneh dan sering kali tertinggal idea yang mudah dan praktikal di depan mata... saya juga ingin memberi pandangan bahawa kreativiti tidak semestinya berlaku dalam aktiviti berkumpulan. Teknik kreativiti boleh dikuasai oleh individu dengan bertindak bersendirian.”


5. Aspek Berfikir dan Penyelesaian Masalah.
Metakognitif ( Monitoring Own Thinking)




Bagaimanapun menjadi suatu yang relevan mengambil kira kecekapan inovasi yang ingin kita capai berpandukan teknik teknik penyelesaian masalah.

Menurut Brown(1978) kemahiran metakognitif merupakan kemahiran eksekutif digunakan untuk mengawal proses pengetahuan sesaorang. Brown mengenalpasti lima proses metakognitif:

1. Merancang pergerakan melaksanakan strategi
2. Mengawasi keberkesanan setiap langkah langkah dalam suatu strategi
3. Menguji strategi semasa melaksanakannya
4. Menyemak semula strategi mengikut keperluan
5. Menilai semula strategi bagi memutuskan keberkesanannya.


Manakala Bransford dan Stein (1984) mengenalpasti lima komponen mewakili akronim IDEAL

1. Identify
2. Define
3. Explore
4. Act
5. Look and Learn



Geoffrey Petty menyenaraikan enam fasa proses memaksimakan kreativiti:

1. Inspiration
2. Clarification
3. Distillation
4. Perspiration
5. Evaluation
6. Incubation


Teknik teknik ini diharap dapat membantu proses perkembangan inovasi berasaskan kreativiti, menghasilkan refleksi, pengayaan dan kesesuaian dalam proses P & P. Pendidik berusaha meneroka kreativiti yang membawanya melihat sesuatu itu dari pelbagai sudut yang berbeza, mencabar yang lazim, mencari penyelesaian yang baik sehingga dapat membuat percubaan yang menyakinkan.


6. Kriteria Untuk Mencapai Matlamat Inovasi.

1. Matlamat yang jelas.
Mencapai matlamat dan objektif .

2. Mengenalpasti Jurang halangan.
Mampu mengatasi kekangan dan halangan.

3. Keutamaan.
Menyedari keutamaan mengikut kepentingannya. Hasilnya mestilah bernilai dan bersifat mulia untuk pelajar dan masyarakat.

4. Keperluan.
Hasilnya mestilah melibatkan proses intelektual, kemahiran interpersonal
Atau kemahiran intrapersonal.



7. Cadangan inovasi.


Kelip Kelip di Inderaloka.


Masa : 80 minit
(Dua kali pengajaran dan pembelajaran)

Sasaran : Tingkatan Satu

Matapelajaran : Pendidikan seni visual

Topik : Warna
Subtopik : Corak grid tidak formal

Kecerdasan
Diharapkan : Kecerdasan Intrapersonal
Kecerdasan Kinestatik
Kecerdasan Visual/Spatial

Dimensi
Pembelajaran : Sikap dan pengertian tentang pembelajaran
Memperolehi cantuman ilmu pengetahuan
Menambah ilmu pengetahuan dengan mendalam
Makna ilmu pengetahuan dalam hidup

Aktiviti : Minggu Pertama
Pelajar diperkenalkan dengan konsep “Pop art”
dan seni abstrak. Guru memberi contoh karya karya
pelukis menekankan falsafah dan tema konsep itu.

Pelajar diminta membawa lampu suluh dan plastik warna yang pelbagai.Di dalam bilik gelap, dua jenis irama muzik perlahan dan moderate diperdengakkan satu persatu. Pelajar mereka tarian dalam kumpulan masing masing. Semasa menari lampu suluh dinyalakan dan mengikut rentak tarian seluruh kelas menjadi warna warni. Kumpulan lain mengumpul data warna dan gerakan lampu.
Lampu suluh dinyalakan dan dimatikan mengikut nada muzik.



Pelajar diminta mengulas media, warna, gerakan tarian,
muzik, tema, ekspresi, budaya, ketulusan, naluri, kebijaksanaan, kecerdasan dan ilmu yang didapati hari itu.
Guru bertindak sebagai fasilitator dengan membebaskan pelajar meluahkan perasaan.


Minggu Kedua.
Guru menyiarkan semula tayangan rakaman minggu lepas dan memetik pandangan pelajar hari itu.
Guru menerangkan aspek warna dan grid tidak formal.


Pelajar diminta membuat analogi hasil dari minggu lepas untuk mereka corak yang sesuai mengikut tema. Sessi ‘brain storming’ diadakan.


Di dalam kumpulan pelajar dalam proses ‘incubation’ menggunakan kaedah ‘mind mapping’ berbincang tentang tema, motif dan prinsip rekaan. Muzik minggu lepas dimainkan semula sebagai inspirasi dan motivasi.


Pada proses ‘illumination’, guru membantu dan menggalakkan pelajar dan sentiasa mengimbas hasil pengetahuan minggu lepas.


Proses ‘verification’ meminta pelajar membuat keputan sendiri. Dari gerak kerja kumpulan ini, dibahagikan kepada individu untuk memperkembangkannya sebagai hasil kerja akhir dan menghasilkan karya.




8. Kesimpulan.


Robert Mac Pherson Pelukis berdasarkan installation, terpengaruh dengan buku Rene Bloks Biennale “Art is Easy” dan pencipta lagu Giuseppe Chiari’s L’arte dere diventare facile dengan statemen “All music is the same’. “Pejamkan mata dan berfikir. Biar fikiran berturutan pada yang lain, pejamkan mata dan dengarlah suara, perbualan yang menunjukkan memori tampak”.

Dalam pengajaran dan pembelajaran melibatkan corak garisan dan warna, pendidik tidak seharusnya terikat dengan cara konvensional. Seandainya Edward de Bono mempunyai ikon topi yang berwarna warni, guru pendidikan seni visual sepatutnya lebih berani memperkenalkan inovasi pengajaran dengan elemen baru.

Kandisky Wassily percaya bahawa catan boleh membina tenaga yang sama seperti muzik lalu ia melukis catan “Improrisation No 13” di mana bentuknya dapat dilihat dan seperti mimpi dan warnanya bergetar mempunyai efek kepada penghayat sama seperti muzik kepada pendengar. Beliau mengenalkan skima pengasingan warna yang mudah dan memberikan warna proses kualiti kerohanian.

Daripada dua orang cendiakawan yang berbeza bidang ini berjaya menyampaikan matlamat mereka. Walaupun matlamat mereka berbeza, tetapi sasaran dan instrumen mereka sama. Sasaran mereka manusia yang pelbagai kecerdasannya dan instrumen mereka ialah warna.


Sebagai seorang pendidik seni visual kita mempunyai kelebihan. Pengajaran mencorak dari pelbagai jenis garisan dan warna boleh berdasarkan audio. Pemilihan warna mengikut not-not lagu dan pemilihan garisan mengikut haluan persembahan lagu. P & P ini bukan sahaja mendidik tetapi mengaktifkan tindak balas hemisfera kanan dan kiri pelajar.


Inovasi mengajar kita berfikir secara kreatif, menjana idea, mencipta analogi memperkembangkan kecerdasan, kemahiran dan minat. Diharap dengan cadangan ini dapat memberi laluan dan penerokaan sebuah pengajaran yang bukan hanya terletak di bahu pemahaman. Satu harapan saya ialah guru dan pelajar dapat bersama belajar menggunakan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah yang sedar atau tidak dijangka daripada cuma menghafal fakta.

No comments: