Wednesday, April 8, 2009

Teori-teori dan isu-isu yang berkaitan dengan pendekatan dan kaedah dalam amalan kurikulum Pendidikan Seni.

Seni dan sains adalah satu polariti yang ekstrim dari subjektif kepada objektiviti. Ia menjadi dimensi yang menterjemahkan perusahaan kemanusiaan. Mengambil persektif subjektif kehidupan di dalam kontras pengajaran dan pembelajaran akan memberi penghargaan dan fokus kepada aspek objektif. Keduanya sentiasa hadir dan mencipta dinamik walau apapun yang diambil kira.

Herbert read (1956) menyarankan bahawa seni sepatutnya menjadi asas kepada pelajaran. Menempatkan seni visual sebagai asas kepada pembelajaran beliau telah mencadangkan suatu integrasi keseluruhan fakulti biologi di dalam satu aktiviti organik. Seni sebagai perwakilan dan sains sebagai penjelasan- suatu realiti yang sama.

Pendidikan seni visual juga tidak terlepas bertanggungjawab sebagai agen sosial kepada masyarakat. Memandangkan kepentingan disiplinnya boleh merubah keseluruhan struktur sains kemanusiaan, teori pembelajaran sosial merupakan aliran yang sesuai dan mempunyai hiraki aras pembelajaran yang memupuk matlamat dan objektif pendidikan seni visual sebagai asas pelajaran.



Teori Pembelajaran Sosial Rotter ( 1971)

Teori pembelajaran sosial telah dimajukan oleh Rotter (1971) untuk memenuhi keperluan psikologi. Dalam teori pembelajaran sosial, perlakuan manusia ditentukan oleh matlamat perlakuannya. Dalam diri setiap individu terdapat satu aliran yang membezakan niat atau keperluan. Aliran berkenaan adalah berbeza-beza dari sangat khusus kepada sangat umum. Beliau menyatakan kategori perlakuan dan matlamat adalah termasuk dalam keperluan yang lebih khusus dan berkemungkinan dapat meramalkan kekuatan seseorang dengan lebih tepat. Manakala niat atau keperluan yang lebih umum atau luas pula menyebabkan ramalan perlakuan seseorang itu menjadi kurang tepat.

Daripada pandangan yang dinyatakan terdapat tiga komponen penting iaitu :

• Terdapat aliran tingkah laku yang terarah ke arah matlamat yang sama. Contohnya, seseorang itu melakukan sesuatu perkara untuk mendapatkan perhatian orang lain agar mengambil berat terhadap dirinya. Perlakuan berkenaan dikenali sebagai keperluan berkemungkinan. Istilah ini merujuk kepada kekuatan potensi, oleh itu kemungkinan mereka akan menggunakannya dalam situasi tertentu.

• Jangkaan perlakuan tertentu akan memandu ke arah kepuasan atau matlamat nilai seseorang. Individu mungkin belajar banyak cara untuk mendapatkan perhatian orang lain kepada dirinya. Kanak kanak mungkin mempunyai jangkaan yang kecil bahawa mereka akan mencapai kearah kepuasan seperti bayi menangis maka ia

diberi perhatian dan pertolongan. Pada keadaan biasa dalam jangkaan perlakuannya seseorang itu belajar untuk mencapai kepuasan tertentu dan akan memandunya ke arah mencapai kepuasan yang di kenali sebagai freedom of movement.

• Keperluan nilai yang dihubungkan dengan matlamat dirinya. Oleh itu, peringkat di mana seseorang individu mengutamakan satu aliran kepuasan kepada sesuatu yang lain. Contohnya, melakukan sesuatu kerana untuk mendapatkan penghargaan atau kerana memerlukan cinta dan kasih sayang. Satu aspek lagi yang penting dalam teori pembelajaran sosial ini ialah pemberatan yang di beri kepada situasi psikologi individu iaitu dalam memahami dan meramalkan perlakuannya. Reaksi individu terhadap sesuatu situasi itu berbeza bergantung kepada pengalamannya masa lalu.


Rotter (1971) mengemukakan enam keperluan sebagai asas dalam teori pembelajaran sosial dalam meramalkan perlakuan individu iaitu :

• Perhargaan – kedudukan ( recognition – status )
Keperluan membuat sesuatu dengan baik untuk menimbangkan kebolehan, baik atau lebih baik daripada orang lain di sekolah, pekerjaan, profesyen, sukan, kedudukan sosial, keserlahan fizikal, atau bermain iaitu keperluan untuk mendapat jawatan yang tinggi dalam nilai sosial yang bersaing.



• Kekuasaan ( dominance)
Keperluan kepada mengawal gerakan orang lain, termasuk keluarga dan rakan rakan. Memerlukan kepada keadaan berkuasa untuk membolehkan orang lain mengikut idea dan kehendak seorang.

• Merdeka ( independence)
Keperluan kepada membuat keputusannya seorang, bergantung kepada diri seorang, mengembangkan kemahiran yang perlu untuk mendapatkan kepuasan dan mencapai matlamat tanpa bantuan orang lain.

• Perlindungan dari dijajahi ( rotection – dependency)
Keperluan kepada orang lain untuk melindungi kekecewaannya, menyediakan perlindungan dan keselamatan dan membantu mendapatkan matlamat matlamat lain.

• Cinta dan kasih sayang ( love and affection )
Keperluan bagi dirinya diterima dan disukai oleh orang lain dengan menyampaikan salamnya yang mesra, minat, perhatian dan doa.

• Keselesaan fizikal ( physical comfort)
Keperluan kepada kepuasan fizikal yang menjadi hubungan dengan keselamatan dan kebaikan, mengelakkan kesakitan dan perlu kepada keselesaan tubuh badan.



Model pembelajaran sosial mempunyai impak yang mendalam terhadap amalan pendidikan seni visual. Model ini banyak diaplikasikan oleh para pendidik dalam membuat kajian dalam bidang pendidikan pelajar. Proses pembelajaran berasaskan pemikiran juga meliputi proses pembelajaran sosial. model pembelajaran ini membawa kepada sikap dan persepsi yang positif terhadap pembelajaran pendidikan seni visual. Melibatkan pembelajaran dalam memperolehi dan menyepadukan ilmu. Melibatkan pemikiran dalam perluasan dan perhalusan ilmu pendidikan seni visual. Melibatkan enggunakan ilmu dengan penuh bermakna; dan melahirkan perlakuan minda yang produktif.



Teori Perkembangan Erikson

Teori perkembangan Erikson berdasarkan pemahaman berlakunya konflik pada setiap peringkat perkembangan yang tertentu. Konflik ini berlaku kerana terdapat unsur positif
dan negatif dalam setiap perkembangan. Konflik yang berlaku mendorong penyesuaian psikologikal secara berterusan.

Setiap konflik yang berlaku pada peringkat-peringkat yang tertentu mempunyai ciri-ciri
yang khusus. Teori yang dikemukan oleh Erikson dikenali sebagai Teori Perkembangan
Emosi-Fizikal Erikson. Beliau mengenal pasti beberapa peringkat perkembangan emosi manusia. Peringkat tersebut bermula pada peringkat bayi hingga peringkat tua.



Peringkat Bayi
Peringkat bayi berlaku dalam lingkungan 0 hingga 1 tahun. Konflik yang berlaku pada peringkat ini dikenali sebagai Konflik Kepercayaan Lawan Tidak Kepercayaan. Rasa kepercayaan mengikut Erikson dibina secara berperingkat-peringkat. Titik permulaannya adalah pada tahun yang pertama. Apabila sesuatu keperluan seseorang kanak-kanak itu tidak dipenuhi maka akan berputik rasa ketidakpercayaan. Rasa ketidakpercayaan akan diterjemahkan dengan perlakuan atau tingkah laku yang negatif.

Peringkat awal kanak-kanak
Peringkat awal kanak-kanak ini berlaku dalam lingkungan umur 1 hingga 3 tahun. Kanak-kanak yang melalui peringkat ini, berkeinginan mempunyai kuasa membuat keputusan yang berkaitan dengan aktiviti seharian. Mereka berusaha menunjukan dan membuktikan mereka boleh membuat sesuatu yang diingini dengan kebolehan dan daya usaha mereka sendiri tanpa bantuan orang lain.

Pada masa yang sama kanak-kanak dalam lingkungan umur ini akan berasa malu apabila tidak dibei kuasa yang perlu ada pada mereka. Mereka tidak sahaja malu pada diri sendiri tetapi juga malu kepada individu yang berada disekeliling mereka. Mereka juga bimbang dan malu apabila mereka melakukan kesalahan di depan orang lain. Konflik yang berlaku pada peringkat ini dikenali sebagai konflik Autonomi Lawan Malu/Ragu.



Peringkat awal kanak-kanak tadika
Peringkat awal kanak-kanak tadika ini berlaku dalam lingkunagn umur 3 hingga 6 tahun. Konflik yang berlaku pada peringkat ini dikenali sebagai Konflik Inisiatif Lawan serba salah. Antara ciri-ciri perkembangan emosi yang ada secara lansung atau tidak lansung. Oleh itu kanak-kanak pada peringkat ini amat peka kepada fakta-fakta yang tepat atau yang salah.

Sebaliknya, mereka akan cepat berasa serba salah apabila diketawakan ketika mereka melakukan sesuatu yang salah atau memberi jawapan yang menyimpang. Kesannya, mereka akan membina dengan sendirinya sikap negative apabila mereka berasa serba salah.

Peringkat kanak-kanak

Peringkat kanak-kanak ini berlaku dalam lingkungan 6 hingga 11 tahun. Pada peringkat ini keinginan terhadap sesuatu dan menguasainya adalah sebahagian daripada matlamat kehidupan seharian. Kanak-kanak juga mempunyai keinginan membuktikan kejayaan dalam bidang yang diminatinya. Pada peringkat ini juga mereka sebenarnya sudah menguasai kemahiran asas yang diperlukan bagi mengendalikan diri mereka. Begitu juga kemahiran asas dalam aktiviti bersosial.

Namun begitu, kanak-kanak amat memerlukan kepelbagaian bentuk peneguhan positif sebagai peransang kepada mereka bagi membuktikan kejayaan mereka. Antara bentuk peneguhan positif yang diperlukan adalah puji-pujian dan penghargaan terhadap tugasan yang sudah disempurnakan.

Apabila mereka dikritik atas sebarang sebab yang tidak dapat difikirkan secara munasabah oleh kanak-kanak tersebut maka terbentuklah rasa rendah diri yang akan mewarnai diri mereka kelak. Konflik emosi pada peringkat ini dikenali sebagai Konflik Kerajinan Lawan Rendah Diri.


Peringkat remaja

Peringkat perkembangan emosi remaja ini berlaku antara umur 12 hingga 20 tahun. Konflik emosi yang berlaku pada peringkat ini dikenali sebagai konflik identiti lawan kekeliruan identiti. Sebagai remaja mereka akan sentiasa berusaha memahami dan menilai diri sendiri. Dalam melalui proses ini, mereka cenderung berdepan dengan situasi-situasi yang bertentangan dengan identitinya. Kesannya, mereka akan menghadapi krisis identiti. Krisis identiti juga berlaku kerana para remaja begitu sensitif dengan perubahan fizikal badan mereka. Tubuh badan mereka adalah sebahagian daripada unsur-unsur yang membentuk imej kendiri seseorang remaja. Ditahap ini para remaja akan membentuk konsep kendiri yang positif dan konsep kendiri yang negatif.



Kecerdasan emosi

Kecerdasan emosi adalah berteraskan konsep kecerdasan sosial. Ia mula dikenal pasti oleh E.L.Thorndike ( 1920 ). Ahli psikologi ini menghuraikan kecerdasan yang lain dan mengumpulkan mereka dalam tiga kumpulan iaitu kecerdasan abstrak iaitu kebolehan memahami dan memanipulasi dengan perkataan dan simbol matematik, kecerdasan konkrit iaitu kebolehan memahami dan memanipulasi objek dan kecerdasan sosial iaitu kebolehan memahami dan mengaitkan dengan orang lain.

Thorndike (1920) mendefinisikan kecerdasan sosial sebagai kebolehan memahami dan mengurus orang lain sama ada dewasa ataupun kanak kanak supaya berperanan dengan baik dalam perhubungan sesama manusia. Dalam kajian Gardner (1983) beliau memasukkan unsur unsur kecerdasan interpersonal dan intrapersonal dalam teori pelbagai kecerdasannya.kedua dua kecerdasan terkandung di bawah kecerdasan sosial. Beliau mendefinisikan kedua duanya sebagai kecerdasan interpersonal. Kecerdasan interpersonal adalah kemampuan memahami orang lain.

Antara persoalan yang berkaitan adalah apa yang memotivasikan mereka, bagaimana mereka berkerja dan bagaimana hendak berkerjasama dengan mereka.jurujual, ahli politik, guru, pegawai pegawai kesihatan dan ketua ketua agama yang berjaya, semuanya ini adalah individu yang mempunyai tahap kecerdasan interpersonal yang tinggi. Kecerdasan intrapersonal pula berkaitan dengan kemampuan dalaman. Ia adalah keupayaan membina dan membentuk model kendiri yang jelas dan menggunakannya bagi menjalani kehidupan yang berkesan. Kecerdasan emosi menggolongkan kecerdasan intrapersonal dan kecerdasan interpersonal Gardner (1983) ke dalam lima domain utama iaitu :

a. mengenali emosi sendiri melalui kesedaran kendiri, seseorang mengetahui dan memahami emosinya, sedar emosi apa yang sedang merayap di minda akibat sesuatu rangsangan dan cuba kuasai emosi tersebut.
b. Mengurus emosi sendiri. Mengambil peluang mengawal emosi yang sedang menguasai diri. Emosi datang tanpa di undang, tetapi kita yang menentukan berapa lama emosi itu menguasai diri kita.
c. Memotivasikan emosi negatif. Jadikan emosi sebagai alat meningkatkan keupayaan berfikir, merancang dan menyelesaikan masalah.
d. Mengenali emosi orang lain. Penting bagi kita kenali perasaan sendiri dahulu kemudian baru cuba menjelajahi dan memasuki emosi orang lain (empati). Ini bagi menggelakkan kekeliruan emosi terutamanya apabila orang lain (pelanggan) mencurahkan emosi mereka.
e. Mengendali perhubungan. Selepas mengenali emosi orang lain dan kita berupaya mengurus diri sendiri serta berempati, maka perhubungan yang positif dan akrab dapat di bentuk.

Kecerdasan Emosi atau Emotional Quotient adalah penting, terutamanya bagi kita yang sentiasa berurusan dengan pelanggan. Kita tidak boleh membenarkan diri terperangkap dengan emosi negative seperti marah, benci, sedih, takut akan perubahan, iri hati dan lain lain.
Goleman (1995) menegaskan penilaian seseorang individu bukan sahaja diasaskan kepada kecerdasan yang ada pada keintelektualannya (IQ) sahaja tetapi yang lebih penting adalah kecerdasan emosi (EQ) yang ada pada dirinya. Mengikutnya lagi kecerdasan intelek (IQ) tidak dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian diri serta hubungannya dengan masyarakat. Kecerdasan Emosi (EQ) mengikut kajian meninggalkan kesan yang mendalam dalam keseluruhan aspek kehidupan termasuk aspek kesihatan dan sosial.

Kejayaan diri dalam pekerjaan perlu juga diimbangi dengan aspek emosi. Seterusnya beliau mengatakan setiap individu perlu meningkatkan kemahiran emosi dan menyatakan terdapat ramai individu yang mempunyai tahap kecerdasan (IQ) yang tinggi tidak berjaya kerana mereka mempunyai masalah kemahiran berhubung dengan orang lain.dalam kajiannya, beliau mendapati kekurangan kecerdasan emosi mendorong kepada perhubungan perkahwinan yang lemah dan perhubungan kerja yang tidak produktif.

Perbezaan antara EQ dan IQ

IQ adalah jenis kecerdasan yang dipercayai wujud daripada faktor keturunan atau baka.manakala EQ pula adalah jenis kecerdasan yang boleh dipelajari. EQ juga boleh di lihat daripada aspek keturunan juga faktor lain yang menyumbang perkembangan EQ seperti pendidikan, keluarga dan suasana persekitaran yang boleh mempengaruhi EQ seseorang. kecerdasan ini sangat berpengaruh terhadap reaksi seseorang apabila menghadapi masalah dan cabaran dalam kehidupan.


Kepentingan EQ

EQ adalah kecerdasan sosial yang amat penting bagi mendidik manusia menjadi insan yang seimbang.melalui kecerdasan emosi seseorang itu akan menjadi lebih berjaya dalam hidupnya berbanding individu yang mempunyai IQ yang tinggi. IQ hanya alat mengukur kecerdasan kognitif manusia sahaja.EQ pula dapat menjana proses pendidikan yang sempurna bagi kanak kanak sehingga mereka mencapai usia 18 tahun bagi membentuk insan yang lebih berjaya kerana kecerdasan emosi merangkumi lima domain yang saling berhubung kait, seperti mengenali emosi sendiri, mengurus emosi sendiri, memotivasikan emosi negatif, mengenali emosi orang lain dan mengendalikan hubungan.

EQ memberi ruang kepada individu meneroka potensi diri sendiri di samping memberi peluang kepada individu menyesuaikan diri dengan emosi diri dan membentuk emosi yang sesuai demi kepentingan diri dan orang lain.individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dapat mengendalikan emosi yang menguasai dirinya.individu yang mempunyai IQ yang tinggi sahaja gagal membendung emosi yang menguasai dirinya dan menyebabkan individu tersebut mudah mendapat tekanan. EQ bukan sekadar emosi yang dididik oleh kognisi tetapi juga diperkaya dengan unsur kerohanianyang mampu mendidik manusia menjadi insan yang lebih seimbang.EQ dapat menyumbang ke arah pendidikan yang lebih sempurna, sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

Kajian kajian lepas berkaitan kecerdasan emosi
Penyelidik penyelidik sudah mengkaji dimensi kecerdasan emosi dengan mengukur konsepnya.contohnya kemahiran sosial, kebolehan interpersonal, kematangan psikologikal dan kesedaran emosi lama dahulu sebelum istilah kecerdasan emosi digunakan.Antara kajian kajian yang mempunyai perkaitan antara kecerdasan emosi dengan fenomena lain adalah seperti kajian yang dilakukan mengenai kepimpinan,pencapaian kumpulan, pencapaian individu, perubahan sosial atau interpersonal serta perubahan pengurusan.

Pendapat Mayer & Salovey (1997), ‘emosi dapat memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran seni visual dalam kehidupan dan bidang kerjaya kerana ia, merangkumi kebolehan untuk mengerti, melihat dan merasa dengan tepat, menilai dan mengganggar, dan menyatakan serta meluah emosi; Kebolehan mendekati dan memasuki atau melahirkan dan menghasilkan perasaan apabila mereka menenangkan fikiran; Kebolehan untuk memahami emosi dan pengetahuan perasaan; kebolehan untuk mengatur emosi sebagai penggalak perasaan dan pertumbuhan intelek ’.

Menurut Goleman (1994) kecerdasan emosi adalah kemahiran yang membantu masyarakat hidup berharmoni adalah semakin dihargai sebagai suatu asset di tempat kerja.Ini kerana kecerdasan emosi ini akan dapat membentuk perhubungan secara berkesan, empati dan menghormati perasaan dan pandangan orang lain, pencapaian penilaian kendiri dan perhubungan yang jelas dan menguruskan konflik dengan kaedah mendengar yang aktif dan empati.

Carso, S.M. (2000) mengkaji perhubungan antara kecerdasan emosi dan kebolehan istimewa remaja. Kajian di buat terhadap 100 orang pelajar berumur antara 12 hingga 16 tahun. Keputusan menunjukkan remaja yang cerdik mencapai skor yang lebih tinggi berbanding pelajar yang tidak cemerlang yang sama umur pada skor EQ, kebolehsuaian dan pengurusan tekanan. Dapatan kajian juga menunjukkan kecerdasan emosi kanak kanak mempengaruhi tahap sosial mereka.

Barling,J. dan rakan rakan (2000) menyelidiki perhubungan antara kecerdasan emosi dan perubahan kepimpinan. Ditunjukkan kecerdasan emosi boleh dikaitkan dengan 3 aspek perubahan kepiminan iaitu pengaruh ideal, inspirasi motivasi dan pertimbangan individu serta ganjaran kontinjen. Pengurusan yang aktif dan pasif dikecualikan dan pengurusan bebas atau laissez faire tidak dikaitkan dengan kecerdasan emosi.

Menurut Bersson ( 1982 ), dengan memberi galakan kepada kanak-kanak menggunakan deria dan respon emosinya dalam mendapatkan pengalaman yang disediakan menerusi kegiatan seni akan meningkatkan keupayaan kanak-kanak dalam membuat pengamatan dan pentafsiran.

Seni mempunyai kuasa tersendiri dalam menarik minat seseorang, lantaran itu seorang pendidik dapat menjadikan ia satu instrumen menerapkan nilai terapeutik bagi menarik minat pelajar, menjadikan pelajar lebih rapat dan rasa selamat, kreatif berfikir, inovatif, aktif, berkeyakinan, emosi yang stabil, penuh kasih sayang dan sahsiah yang mantap. Kesimpulan dari cadangan ini akan mencapai era yang ditunggu-tunggu dan meneroka dimensi baru seiring dengan perlaksanaan kurikulum Bestari Pendidikan Seni Visual.




Kategori stail belajar Gregore (1979)


1) pelajar concrete sequential
pelajar kategori ini suka kepada kerja kerja praktikal di dalam kelas. Mereka lebih berkebolehan menggunakan kemahiran tangan dalam mendapatkan pengalaman belajar. Mereka juga menyukai lawatan dan kerja kerja projek dan suka untuk melihat hasil kejayaan atas usaha mereka. Oleh kerana mereka mengambil berat terhadap tugas dan tanggungjawab, mereka berkebolehan dalam kerja berbentuk struktur misalnya menyusun jadual dengan kemas.

Bagi kumpulan ini, guru perlu merancang lebih banyak latihan amali, projek yang memerlukan penyelidikan luar, lawatan dan aktiviti aktiviti lain yang memberi peluang kepada pelajar untuk ‘ belajar dan mengalami ‘ . Guru boleh juga mengarahkan pelajar merancang sendiri program mereka serta menyusun jadual untuk seluruh kursus.

2) Pelajar abstract sequential
Pelajar kategori ini suka kepada penggunaan simbol, idea dan konsep dalam pembelajaran. Mereka berkebolehan menganalisis, menilai dan memberikan bukti bukti yang bernas dalam jawapan mereka. Berkebolehan membuat penyelidikan sendiri melalui pembacaan persekitaran.

Teknik penyampaian yang sesuai ialah dengan memberikan soalan soalan yang mencabar pemikiran mereka. Perbanyakkan latihan latihan penyelidikan melalui pembacaan dan perpustakaan. Biasanya pelajar kategori ini mempunyai pengetahuan am yang luas. Oleh itu, beri mereka rangsangan melalui aktiviti debat dan perbincangan.

3) Pelajar abstract random
Pelajar kategori ini suka kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan aktiviti kumpulan. Mereka juga suka melibatkan diri dalam sebarang aktiviti dalam kelas dan membantu guru serta kawan kawan. Sesuai dengan kehalusan jiwa yang mereka perolehi, oleh itu mereka berkebolehan dalam bidang seni dan hal hal kemanusiaan.

Gerakerja kumpulan sangat sesuai untuk pelajar dalam kategori ini. Guru mungkin boleh memperbanyakkan aktiviti secara berkumpulan bukan sahaja untuk kerja kerja dalam bilik engajaran dengan bantuan video , pita rakaman, gambar gambar dan carta.

4) Pelajar concrete random
Pelajar dalam kategori ini bersifat praktikal dan realistik tetapi menggambarkan dalam bentuk kreatif. Mereka adalah pelajar yang aktif dan mempunyai daya penarik, menyenangkan dan bersifat terbuka. Berkebolehan menyelesaikan masalah dan berminat membuat percubaan baru serta selalu bertanya ‘ mengapa ‘?

Latihan amali dan penyelidikan luar bilik darjah merupakan aktiviti aktiviti yang sesuai untuk kategori ini. Pelbagai teknik mengajar, penggunaan alat alat bantu mengajar dan hidupkan suasana kelas dengan hubungan yang mesra. Oleh kerana pelajar dalam kategori ini suka membuat satu satu percubaan baru, guru boleh memperbanyakkan tugasan untuk mereka.


Kesimpulan


Kesemua teori-teori seperti di atas ini berperanan membentuk pendekatan dan kaedah dalam amalan kurikulum Pendidikan Seni. Teori pembelajaran sosial telah dimajukan oleh Rotter (1971) menjelaskan enam keperluan sebagai asas dalam teori pembelajaran sosial dalam meramalkan perlakuan individu sebagai persediaan pendekatan guru di dalam kelas. Erikson pula memperkenalkan Teori Perkembangan Emosi-Fizikal Erikson. Beliau mengenal pasti beberapa peringkat perkembangan emosi manusia. Teori ini menolong guru membuat perancangan berobjektif yang sangat diperlukan untuk membimbing pelajar mengenali potensi diri dan mengekspresi seni yang telah sedia wujud dalam diri mereka. Selain dari perkembangan minat dan bakat, seni juga dapat mendorong dan mendidik pelajar-pelajar melahirkan idea-idea kreatif melalui proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Prof. Madya Hj. Iberahim bin Hassan di dalam kuliahnya ( 2003 ) “ Cetusan emosi boleh menimbulkan kreativiti yang tinggi dan komponen ini sangat kuat dalam pewujudan penghasilan sesebuah karya”. Sebaik-baiknya setiap cetusan yang berlaku dan akan berlaku akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat, menjadi sumbangan, berintelek dan memperkayakan lagi khazanah peradaban negara kita. Kategori stail belajar Gregore (1979) mengenal pasti pelajar dan membolehkan guru mengatur strategi pengajaran dan pembelajaran mengikut kemahiran dan minat pelajar. Kekuatan pendekatan dan amalan stail pembelajaran Gregore ialah guru sentiasa peka dengan kebolehan pelajar. Pelajar pula dapat mempamerkan jati diri. Pengawalan dan pengawasan tingkah laku di kala proses pengajaran dan pembelajaran lebih mudah dan berkesan.

Memahami tingkahlaku kemanusiaan akan membentuk persefahaman yang baik di antara guru dan pelajar. Guru yang cenderung dan berempati dengan pelajar akan bertambah baik hubungan mereka. Pelajar akan lebih menghormati guru sebagai pendidik, pembimbing dan penasihat mereka. Sikap suka menyusahkan tugas guru tidak terlintas difikiran mereka, malahan akan sentiasa membantu dan bekerjasama dalam sebarang permasalahan. Ini dibuktikan dengan kerajinan, membuat tugasan mengikut masa yang ditetapkan, sentiasa bekerjasama dan sentiasa menjaga tatasusila.

Pengajaran seni visual melibatkan emosi dan nilai-nilai manusia. Ia lebih merupakan tindakan menghasilkan suatu lukisan, mencipta sesuatu yang baru (inovasi), memahami bahasa tampak, menghasilkan bahan kreatif dan pelbagai lagi, yang memerlukan kemantapan mental, kemahiran psikomoto berkualiti yang tidak boleh dicapai melalui teori atau formula sahaja. Seni adalah sesuatu yang subjektif dan infiniti, objektifnya luas, aktivitinya bebas tetapi terancang.




Bibliografi





• Abd. Fatah Hasan, “ Falsafah Pendidikan” PTS publication & Distribution, 2001.

• Deborah D.West, “ Edicational Horizon ”, Summer, 2000 .

• Herbert Read, ‘Education through Art’ Faber and faber, 1956

• Prof. Madya Hj Iberahim Hassan, “ Pendidikan Seni : Matlamat dan Kepentingan “,
“ Kump Esei Pilihan Pendidikan Seni Dan Muzik”, PenerbitanFakulti Sains Sosial dan Kesenian, UPSI, 2000.

• Robert J.Sternberg, “Human abilities Annual Review of Psychology”. Annual, 1998.

• Sharifah Md Nor, “Keberkesanan sekolah, satu perspektif sosiologi’ UPM, 2000.

• Viktor Lowenfeld , “ Creative and Mental Growth “, Macmillan Co New York ,1947.

3 comments:

moHd nOr izZaT b. mOhd jOhAri said...

salam uncle Ly,jumpa di blog pulak.. :)

saya cari bahan tentang kurikulum pendidikan seni,terjumpa blog uncle Ly....

ini blog saya, norizzat.blogspot.com

Anonymous said...

Lovely tajam posting. Tidak pernah berpikir bahwa itu adalah ini mudah. Great job!

Anonymous said...

IЎЇm senang bahwa saya telah mengamati weblog ini . Akhirnya sesuatu yang bukan sampah , yang kita pergi melalui sangat sering . Website ini penuh kasih dan disimpan dilayani sebanyak tanggal . Jadi seharusnya, terima kasih untuk berbagi ini dengan kami .